Jika mau ke Sabah, ini 13 tempat menarik yang saya mahu cadangkan untuk anda kunjungi:
1. Pulau Manukan, Sapi dan Mamutik
Ketiga-tiga pulau ini agak dekat dengan tanah besar. Kita boleh pilih untuk ke sebuah pulau sahaja atau pergi ketiga-tiga buah pulau tersebut untuk snorkelling, mandi-manda, bersukan atau sekadar merehatkan badan. Pasir memutih dengan airnya yang jernih. Perghh.
Untuk ke pulau tersebut sila dapatkan bot di Jesselton Point. Seeloknya jangan terus terkam kaunter yang pertama kerana kekadang kita akan dapat best deal di kaunter yang tengah. Snorkelling set dan life jacket lain harga. Sila pastikan pukul berapa mereka akan menjemput kita pulang.
2. Tamu di Gaya Street (setiap ahad 6am-1pm sahaja)
Tamu Gaya seakan-akan pasar tani yang banyak terdapat di semenajung Malaysia. Berbagai barangan seperti makanan, barangan kraf, servis mengurut kaki dan sebagainya dijual di sini. Ia hanya diadakan pada hari Ahad sahaja.
3. Pasar Filipina
Dinamakan sedemikian kerana dimulakan oleh migran Filipina lama dahulu. Pasar ini menjual barangan kraftangan hasil buatan berbagai suku kaum di Sabah. Yang paling banyak dijual sudah tentunya barangan perhiasan wanita seperti batu permata, mutiara, batik, t-shirts dan cenderahati.
Terletak di waterfront antara pasar buah dan pasar basah, ia merupakan tempat yang sesuai untuk membeli-belah sebelum pulang.
4. Signal Hill Observatory tower
Terletak di kawasan paling tinggi (dah tentulah kan hehe..), ia tempat yang sesuai untuk melihat sebahagian bandar Kota Kinabalu. Hanya beberapa minit berkereta dari Padang Merdeka. Kalau naik teksi kena RM10-15 lah juga. Bagus naik uber la sebab murah sikit.
5. Lok Kawi Wildlife Park
Waktu beroperasi: 9.30am – 5.30pm | Tiket dewasa: RM10
Ia terletak di jalan lama Penampang-Papar dan di bahagikan kepada dua komponen iaitu zoologi dan botani. Dengan menjadikannya taman untuk keluarga, zoo kanak-kanak telah diberikan keutamaan.
Di antara binatang yang dipelihara di sini ialah Borneo Pygmy elephants, monyet Proboscis yang menjadi maskot Tourism Malaysia, harimau Malaya dan juga beberapa spesis rusa.
Nak jungle trekking sejauh 1.4km pun boleh. Berjalan dengan anak-anak di sini sampai belajar secara santai memang seronok. Bawalah mereka berjalan tempat-tempat begini semasa mereka kecil, bila dah remaja kita cakap Jom pergi zoo! Dia akan balas balik hah, pergi zoo? Hehe.
6. Masjid Likas
Masjid in terletak kira-kira 3 kilometer dari bandar Kota Kinabalu, jalan yang sama menuju ke Universiti Malaysia Sabah. Masjid ini mampu memuatkan sekitar 9,000-12,000 jemaah dalam satu-satu masa melebihi kapasiti yang mampu ditanggung oleh Masjid Negeri.
Berhampiran laut, masjid ini kelihatan terapung diatas lagun yang dibina di sekelilingnya. Bila bulan mengambang penuh lagi cantik.
Kepada yang tak mahu menyewa kereta tu naik saja nas no 5A.
7. Coral Flyer
Ziplining dari Pulau Gaya ke Pulau Sapi! Dari pulau ke pulau tu dalam 250m. Tak pernah lagi buat flying fox sejauh tu. Cuba bayangkan excitement, thrill dan keindahan laut di Taman Tuanku Abdul Rahman dan hutan,
8. Rumah Terbalik
Apa yang anda ingat dengan nama Tamparuli? Jambatan? Takdelah besar benar jambatan tu. Yang lebih menarik ialah www.upsidedownhouse.com.my yang beralamat di Kampung Telibong, Batu 21, Jalan Telibong, Tamparuli, daerah Tuaran. Nak pergi ke Gunung Kinabalu kita kena lalu Rumah Terbalik ini yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Merupakan sebuah rumah kampung yang serba lengkap hiasan dalamannya tetapi dipasang secara terbalik termasuklah kereta. Jangan risau nak bawa ahli keluarga yang berkerusi roda kerana ianya wheelchair friendly.
9. Kinabalu Park
Owh ini mungkin anugerah terhebat yang kita ada. Sangat indah dan nyaman di sini. Kita boleh buat jungle trekking bersama keluarga. Kepada yang lebih adventurous boleh mendaki Gunung Kinabalu. Untuk pendakian, pastikan mountain guide (malim gunung) anda berlesen dan daftar dulu ya kerana jumlah pendaki dihadkan dalam satu-satu masa. Bawa anak-anak jungle trekking di sini, seronok! Ala. Paling jauh 1km je.
10. Kundasang War Memorial
Tempat untuk mengimbau sejarah pendudukan Jepun di Sabah. Bagaimana tragisnya askar British yang menjadi tawanan tentera Jepun yang dipaksa berjalan kaki dari Sandakan. KWM bukan kubur tetapi taman peringatan yang cantik dengan senarai nama-nama perwira yang gugur.
Setiap tahun ada saja keluarga tentera ini yang akan melawatnya. Terletak di kawasan berbukit, pemandangannya sungguh indah menghadap Gunung Kinabalu dan kawasan penanaman sayuran di Kundasang.
11. Desa Dairy Farm
Ladang penternakan lembu ini sangat cantik. Pernah sekali dulu aku datang semasa dedaun bertukar merah. Tidaklah semua tetapi dapatlah juga bergambar berlatar belakangkan daun yang macam dalam musim luruh tu. Iklan susu yang keluar kat tv tu shoot kat sini je. Bukannya di New Zealand pun.
12. Tagal Sungai Moroli di Kg Luanti
13. Ladang Sabah Tea
Sabah Tea ialah teh organik yang ditanam di Ranau. Terletak bersebelahan dengan Tagal Sungai Moroli Kg Luanti, penginapan juga disediakan di sini disamping factory tour. Restoran pun ada.